Ads 468x60px

.

Thursday, 17 May 2012

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN




TEKS UCAPAN 

YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN 
TIMBALAN PERDANA MENTERI 
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA 
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41 
PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI 
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA KANGSAR, PERAK 

TEMA: GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI   
PENDIDIKAN NEGARA 



Bismillahirrahmanirrahim,  Assalamualaikum  Warahmatullahi  Wabarakatuh, 
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. 

Yang Amat Berhormat Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak; 
Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I;  
Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II;   Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian  Pelajaran Malaysia; 
Yang  Berbahagia  Dato'  Sri  Abdul  Ghafar  bin  Mahmud,  Ketua  Pengarah 
Pelajaran Malaysia; 
Yang  Berbahagia  Tuan  Haji  Mohd.  Idris  bin  Haji  Ramli,  Timbalan  Pengarah  Jabatan Pelajaran Negeri Perak 
Timbalan-Timbalan  Ketua  Setiausaha  dan  Timbalan-Timbalan  Ketua  Pengarah 
Pelajaran Malaysia,  
Rektor  Institut  Pendidikan  Guru  Malaysia, Ketua-Ketua  Bahagian  Kementerian  Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri, 
Tan  Sri-Tan Sri, Dato-Dato, Datin-Datin,  Dif-dif  Jemputan,  Tuan-tuan,  Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian. 

1.         Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin  dan  kurnia-Nya,  dapat  kita  sama-sama  berkumpul  di  Bandar  DiRaja  Kuala  Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita  yang  tidak  terhingga  terhadap  jasa  dan  sumbangan  para  guru,  warga  Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita. 
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato Seri DiRaja Dr. 
Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri  Perak  menjadi  tuan  rumah  sambutan  Perayaan  Hari  Guru  yang  ke-41  pada  tahun ini. 


GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA 
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 

2.         Malaysia  sedang  berada  di  ambang  negara  maju.  Untuk  tempoh  lapan  tahun  dari  sekarang,  negara   kita  akan  melalui  satu  fasa  transformasi  penting  yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju  apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda  dan  kudrat  rakyat  perlu  digembleng  untuk  memacu  kemajuan  negara  dalam  persekitaran global yang lebih mencabar. 

3.         Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit  cabaran  yang  bakal  kita  hadapi.  Bagi  para  guru,  cabaran  paling getir  adalah  bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang  terdekat.  Tujuannya  ialah,  pertama,  supaya  sistem  pendidikan  negara  kita  mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan  mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di  negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang  untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.  

4.         Lantaran  itu,  kerajaan  memberikan  tumpuan  utama  kepada  usaha  meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu  bahawa  menyediakan  pendidikan  yang  berkualiti  untuk  rakyat  adalah  satu-satunya  wadah  bagi  melahirkan  modal  insan  yang  berpengetahuan,  berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang  akan  memacu  kemajuan  negara  kita  ke  tahap  yang  lebih  tinggi.  Di  pundak  merekalah  letaknya  harapan  kita  untuk  melihat  kemajuan  dan  pembangunan  negara  dijana  dengan  lebih  pesat  dan  mapan,  demi  kesejahteraan  dan  kemakmuran masa depan kita bersama.  

5.         Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan.  Sejak  tiga  tahun  yang  lalu,  kita  telah  melaksanakan  empat  inisiatif  di  bawah  Bidang  Keberhasilan  Utama  Negara  (NKRA)  bagi  sektor  pendidikan,  yang  bertujuan  untuk  memperluas  akses  kepada  pendidikan  yang  berkualiti  dan  berkemampuan.  Alhamdulillah,  berkat  kegigihan  para  guru  di segenap  pelusuk  negara  dan  sokongan  padu  seluruh  warga  Kementerian,  kita  telah  menempa  kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan  murid  pra-sekolah  berjaya  kita  tingkatkan,  sasaran  penguasaan  literasi  dan  numerasi  murid  mampu  kita  capai,  bilangan  sekolah  berprestasi  tinggi  bertambah dan baiah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan  tahniah  saya  ucapkan  kepada  semua  guru  dan  warga  kementerian  yang  telah  menggerakkan  seluruh  kudrat  dan  ikhtiar  untuk  meningkatkan  kemerlangan  pendidikan negara. 


Saudara dan saudari yang saya hormati, 

6.         Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guru-guru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guru-guru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan  pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya  insan-insan  yang  terdidik  dengan  ilmu  dan  adab,  yang  kini  berada  di  setiap  lapangan  ekonomi,  sosial,  budaya,  pendidikan  dan  sebagainya  untuk  menggerakkan  kemajuan  bangsa  dan  nusa.  Kejayaan  negara  kita  beralih  daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara  perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana  jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang  rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap  kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini.  

7.         Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap  mudah  berpuashati  dengan  pencapaian  sedia  ada.  Dalam  menghadapi  persaingan  global  yang  semakin  sengit,  kita  tahu  bahawa  sistem  dan  amalan  pendidikan  di  negara  kita  perlu  ditransformasi.  Kualiti  guru-guru  kita  perlu  dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem  pentaksiran  perlu  diperkemaskan,  prasarana  sekolah  perlu  ditambahbaik,  sumber  dan  sistem  penyampaian  pendidikan  perlu  diurus  dengan  lebih  cekap.  Pendek  kata,  keseluruhan  sistem  pendidikan  kita  perlu  disemak  dan  dimantapkan kualitinya secara bersepadu.  

8.         Sehubungan  itu,  Kementerian  telah  memulakan  proses  Kajian  Semula  Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama  yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga  telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa  pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana kita  boleh  meningkatkan  mutu  dan  tahap  pendidikan  negara  kita  agar  setanding  dengan  negara-negara  maju.  Saya  mengambil  kesempatan  ini  untuk  mengundang  guru-guru  menyertai  dialog  pendidikan  negara  dan  tanpil  dengan  idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita. 

9.         Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan  ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan  yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam  bidang  pendidikan  dapat  mengemukakan  saranan  terbaik  tentang  bagaimana  kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan. 


GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI 

Saudara dan saudari yang saya hormati, 
10.  Dalam  menempuh  era  globalisasi  yang  semakin  diwarnai  oleh  ekonomi  berteraskan  ilmu  dan  inovasi,  maka  pada  hemat  saya,  guru  yang  berkualiti  adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa  yang  dimaksudkan  dengan  guru  berinovasi.  Pada  pengamatan  saya,  guru  berinovasi  ialah  guru  yang  mempunyai  kebolehan  untuk  melengkapkan  murid  dengan  kemahiran  alaf  baru  seperti  keupayaan  berfikir  secara  kritis,  kebijaksanaan  menyelesaikan  masalah  dan  daya  kreativiti  yang  tinggi.  Dalam  konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi  akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.  Ketika  berada  di  dalam  bilik  darjah,  guru  berinovasi  tidak  akan  terikat  dengan  sesuatu  cara  dalam  melaksanakan  pengajaran  dan  pembelajaran,  tetapi  sentiasa  berfikir  di  luar  kotak  pemikiran  biasa  untuk  mencari  kaedah  dan  pendekatan  baru  yang  lebih  berkesan.  Yang  penting,  objektif  pembelajaran  dicapai.  


11.  Selanjutnya,  seorang  guru  berinovasi  juga  akan  memberi  tumpuan  kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir  dan  daya  kreativiti  murid.  Keutamaan  guru  berinovasi  ialah  untuk  memastikan  murid  berupaya  menggunakan  ilmu  yang  diajar  di  dalam  bilik  darjah  bukan  semata-mata  untuk  berjaya  dalam  peperiksaan,  tetapi  untuk  membolehkan  mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud,  guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran  paling  kondusif  dan  memberi  ruang  seluas-luasnya  kepada  murid  untuk  mengasah  kebijaksanaan  berfikir.  Seterusnya,  guru  berinovasi  juga  berupaya  menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil  langkah  proaktif  untuk  meningkatkan  kecemerlangan  murid  supaya  mereka  dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.  

12.  Ini  bermakna,  guru  berinovasi  ialah  guru  yang  sentiasa  memikirkan  apakah  cabaran  yang  bakal  dihadapi  oleh  murid  setelah  mereka  melangkah  keluar  dari  lingkungan  sekolah,  dan  apakah  ilmu  yang  dipelajari  di  sekolah  mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk  itu,  guru  berinovasi  akan  sentiasa  menggunakan  pelbagai  kaedah  dan  cara  untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya  menjadikan  mereka  insan  yang  berdaya  saing  dan  berakhlak mulia.  Sekiranya  semua  guru di  negara  kita  adalah  guru  berinovasi,  saya  yakin  matlamat  kita  untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan  berketrampilan akan tercapai.  


KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI 

13.  Keyakinan  saya  berasaskan  kepada  fakta  bahawa  pada  masa  ini  di  sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang  bergemerlipan.  Antaranya,  murid  Sekolah  Menengah  Kebangsaan  USJ  4,  Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic  Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu  melahirkan  murid  yang  berjaya  menempa  kecemerlangan  di  peringkat  antarabangsa.  Tahniah  saya  ucapkan  kepada  murid  dan  guru  SMK  USJ  4,  Subang Jaya. 

14.  Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar  dari  Sekolah  Menengah  Sains  Kepala  Batas  yang  berjaya  memenangi  Pingat  Emas  bagi  kategori  Modul  Pengajaran  Terbaik  dalam  pertandingan  ASEAN  Camp  for  Gifted  In  Science  pada  tahun  2011.  Cikgu  Harris  juga  patut  dipuji  kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih  banyak  kejayaan  dalam  Pertandingan  Rekacipta  di  peringkat  kebangsaan  dan  antarabangsa.  Ini  termasuk  Pertandingan  Inovasi  Sains  SBP  Kelapa  Sawit  anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for  the Gifted In Science di Korea.  

15.  Saya  juga  ingin  merakamkan  ucapan  tahniah  kepada  Cikgu  Khairuddin  bin  Nasa  dan  Cikgu  Abdul  Razak  bin  Haron  dari  Sekolah  Menengah  Kebangsaan  Khir  Johari,  Sungai  Sumun  Perak,  yang  telah  berjaya  merangkul  Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong  guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan  tema Hari Guru tahun ini.  


MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH  

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 

16.  Kementerian  akan  terus  berusaha  untuk  meningkatkan  pembudayaan  inovasi  di  sekolah.  Bermula  tahun  2011,  Kementerian  telah  melaksanakan  Kurikulum  Standard  Sekolah  Rendah  (KSSR)  yang  menekankan  aspek  pemikiran  kritis,  kreatif  dan  inovatif  sejak  peringkat  awal  persekolahan.  Saya  yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada  guru  untuk  mengenalpasti  strategi  penambahbaikan  proses  pengajaran  dan  pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru  untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah  murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi.   

17.  Kementerian  Pelajaran  juga  telah bekerjasama  dengan  Agensi  Inovasi  Malaysia  (AIM)  untuk  membudayakan  kemahiran  berfikir  melalui  Program  i-Think.  Program  ini  adalah  antara  pendekatan  baru  yang  sesuai  diguna  pakai  oleh guru untuk meningkatkan penaakulan dalam kalangan murid.  Program ini  telah  dirintis  di  sepuluh  buah  sekolah  dan  diharapkan  dapat  diperluaskan  ke  seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.  


18.  Selain  itu,  Kementerian  Pelajaran  dan  Kementerian  Pengajian  Tinggi  sedang  merangka  Pelan  Tindakan  Pembangunan  Modal  Insan  Inovatif  untuk  membudayakan  inovasi  dan  kreativiti  dalam  kalangan  murid.  Melalui  pelan  ini,  sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran  dan  pembelajaran  secara  kreatif  bagi  melahirkan  modal  insan  yang  inovatif.  Pelan  Tindakan  Pembangunan  Modal  Insan  Inovatif  diharap  akan  digunakan  sepenuhnya  oleh  guru  sebagai  garis  panduan  untuk  mencapai  hasrat  negara  meningkatkan  keupayaan  daya  saing  negara  yang  diukur  berdasarkan  kemampuan rakyat untuk berinovasi.  

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN 
19.  Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guru-guru  yang  berkualiti.  Oleh  itu,  Kementerian  sentiasa  berusaha  meningkatkan  kualiti  guru  melalui  sokongan  dasar,  latihan  dan  insentif.  Dalam  hubungan  ini,  Kementerian  komited  untuk  mencapai  sasaran  60  peratus  guru  siswazah  di  sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang  tahun  2015.  Sehingga  kini,  program  pensiswazahan  guru  telah  berjalan  lancar  dengan  69.6  peratus  daripada  66,124  guru  yang  disasarkan  telah  menerima  tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.  

20.  Biarpun  mengharap  dedikasi  guru  yang  tidak  terhingga  dalam  mendidik  anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru  yang  terbeban  dengan  pelbagai  tugas  dalam  memastikan  kelancaran  dan  keberkesanan  organisasi  sekolah.  Oleh  itu,  Jawatankuasa  Kerja  Pelaksana  Menangani  Isu  Beban  Tugas  Guru  sedang  melaksanakan  28  perakuan  bagi  menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya,  Jawatankuasa  Kerja  ini  memperkenalkan  Sistem  Pengurusan  Sekolah  yang  merupakan  satu  sistem  tunggal  kemasukan  data  untuk  mengurangkan  beban  tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.  Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan  semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru  ini menjelang tahun 2013.  

21.  Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan  Pembantu  Tadbir  N17  sehingga  Jun  2012  untuk  melihat  impak  penempatan  Pembantu  Tadbir  bagi  mengurangkan  beban  tugas  perkeranian  guru. Seterusnya  satu  cadangan  akan  dikemukakan  kepada  pihak  Jabatan  Perkhidmatan  Awam  bagi  perluasan  penempatan  Pembantu  Tadbir  N17  di  sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru  ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian  dan  peperiksaan  setara  serta  menambahbaik  pengendalian  ujian  dan  peperiksaan  di  peringkat  sekolah.  Oleh  itu,  pada  tahun  ini  hanya  satu  peperiksaan  setara  sahaja  dibenarkan.  Pemansuhan  sepenuhnya  ujian  dan peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian  akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran. 

22.  Selaras  dengan  usaha  kerajaan  untuk  menambah  baik  Skim  Perkhidmatan  Pendidikan,  peruntukan  tempoh  minimum  kenaikan  pangkat  secara  Time-Based  berasaskan  kecemerlangan  dikekalkan  sebagaimana  diumum  oleh  YAB  Perdana  Menteri  pada  8  Mac  yang  lalu.  Bagi  Pegawai  Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk  kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred  DG48  ke  DG52,  dan  hanya  3  tahun  untuk  DG52  ke  DG54.  Manakala  bagi  Pegawai  Perkhidmatan  Pendidikan  Lepasan  Diploma  gred  DGA29,  hanya  8  tahun  diperlukan  untuk  naik  ke  gred  DGA32,  8  tahun  untuk  gred  DGA32  ke  DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38. 

23.  Lanjutan  pengumuman  YAB  Perdana  Menteri,  seramai  390  orang  guru  telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang  ke  gred  DG48  dan  19,805  orang  ke  gred  DG44.  Bagi  Guru  Bukan  Siswazah  pula,  seramai  399  orang  dinaikkan  ke  gred  DGA38,  manakala  2,639  orang  dinaikkan  ke  gred  DGA34  dan  9,519  orang  ke  gred  DGA32.  Dianggarkan  seramai  8,222 orang Pegawai Perkhidmatan  Pendidikan  Siswazah  dan  15,831  orang  Pegawai  Perkhidmatan  Pendidikan  Lepasan  Diploma  akan  dipertimbangkan  untuk  kenaikan  pangkat  apabila  memenuhi  syarat  tempoh  perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh  membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini.  

24.  Selaras  dengan  komitmen  kerajaan  untuk  meningkatkan  kecemerlangan  pendidikan  dan  memartabatkan  profesion  keguruan,  saya  ingin  memaklumkan  bahawa  proses  kenaikan  pangkat  Pengetua  dari  gred  DG48  ke  DG52  dan  Penolong  Kanan  dari  DG44  ke  DG48  telah  dilaksanakan  oleh  Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke  DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke  DG48.  Kenaikan  pangkat  ini  melibatkan  Pengetua dan  Penolong  Kanan  yang  merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan  yang  memangku  jawatan  sebelum  atau  pada  31  Disember  2010.  Tarikh  kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang  jawatan  Pengetua  dari  gred  DG48  ke  DG52  seramai  430  orang  dan  baki  penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655  orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon  memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

25.  Bagi  melaksanakan  semua  urusan  kenaikan  pangkat  Pegawai  Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu  satu  jumlah  besar  yang  membuktikan  kesungguhan  kerajaan  memberi  pengiktirafan  kepada  usaha  para  guru  dalam  membentuk  modal  insan  yang  berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan  prestasi. 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 

26.  Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan  pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan  bersemangat  waja.  Saya  berharap  guru  juga  sentiasa  memelihara  kemuliaan  akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri  teladan kepada murid dan masyarakat.  

27.  Untuk  memastikan  ilmu  pengetahuan  dapat  diterima  dengan  sebaiknya  oleh  murid,  saya  amat  berharap  agar  guru  bukan  sahaja  menyampaikan  ilmu,  tetapi  bertindak  sebagai  murabbi  yang  berperanan  mendidik  rohani,  jasmani,  akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu  yang  dipelajari.  Maka,  guru  menggalas  amanah  yang  amat  mulia  dalam  memperbaharui  dan  memperbaiki  kehidupan  manusia.  Tajdid  pendidikan  akan  terhasil  apabila  guru  dapat  membangun  jiwa,  membina  akal  dan  membentuk  akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia. 

28.  Sesungguhnya,  tidak  terhitung  jasa  dan  bakti  guru  kepada  bangsa  dan  negara.  Justeru,  saya  bagi  pihak  kerajaan  ingin  mengucapkan  jutaan  terima  kasih  kepada  para  guru  dan  semua  insan  yang  bergelar  pendidik,  baik  yang  berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi  pengajian  tinggi,  di  institusi-institusi  latihan  atau  di  mana  jua  anda  berada,  samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima  kasih  yang  tidak  terhingga  atas  segala  sumbangan  dan  pengorbanan  anda  semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat  martabat  nusa.  Kepada  guru-guru  pesan  saya,  sayangilah  murid  anda,  dan  kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda. 

Akhir  kalam,  dengan  lafaz  Bismillahirrahmanirrahim,  saya  dengan  sukacitanya  merasmikan  Sambutan  Hari  Guru  Peringkat  Kebangsaan  Kali  Ke-41  Tahun  2012.  

Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!  

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

0 comments:

Post a Comment

e-Perkhidmatan

Dirikanlah Solat